Kisah Nabi Musa A.S

Firman Allah s.w.t:

Maksudnya:

Dan ceritakanlah (hai Muhammad kepada mereka), kisah Musa di dalam Al Kitab (Al Qur’an) ini. Sesungguhnya ia adalah seorang yang dipilih dan seorang rasul dan nabi. Dan Kami telah memanggilnya dari sebelah kanan gunung Thur dan Kami telah mendekatkannya kepada Kami di waktu dia munajat (kepada Kami). Dan Kami telah menganugerahkan kepadanya sebagian rahmat Kami, iaitu saudaranya, Harun menjadi seorang nabi.

Surah Maryam (16): 51-53

Nama sebenar Nabi Musa a.s adalah Musa bin Imran bin Qahats bin A’azar bin Laawi bin Ya’kub bin Ishak bin Ibrahim.[1] Manakala ibunda baginda bernama Ayarikha. Ada yang mengatakan Ayazakhat[2], Yukabad[3] dan Najib binti Syamwil[4]. Tetapi kajian mendapati pendapat al-Suhaili dinyatakan dalam kitab Qisas  al-Anbiya’ yang dikarang oleh Abul Fidaa’ bin Katsir al-Quraisy mengatakan bahawa ibunda Musa a.s adalah Ayarikha.[5]

Nabi Musa a.s adalah seorang nabi dari kalangan Bani Israel. Bani Israel antara satu golongan (kelompok) sering tertindas suatu golongan yang berasal dari keturunan Nabi Ya’kub bin Ishak bin Ibrahim a.s. Mereka berada di bawah kekuasaan Fir’aun diperhambakan dan dijadikan sebagai masyarakat kelas bawahan serta dipaksa bekerja keras untuk membangunkan kekuasaan mereka.[6]

Maksudnya:

Sesungguhnya Fir‘aun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan dari mereka, menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Fir`aun termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan.

Surah al-Qasas (20): 4

As-Suda menyatakan riwayat yang diterima dari Abu Soleh dan Abu Malik dari Ibnu Abbas, dari Murrah dan dari Ibnu Mas’ud dari salah seorang sahabat. Dikatakan bahawa Fir‘aun bermimpi seakan-akan api berjalan merayap dari arah Baitul Maqdis. Kemudian membakar negeri Mesir, termasuk seluruh bangsa Qibti. Anehnya Bani Israel tidak turut terbakar sama. Paginya, Fir‘aun mengumpulkan seluruh ahli nujum dan ahli sihir kerajaan. Fir‘aun menanyakan erti mimpi yang dialaminya semalam. Mereka mengatakan bahawa kelak akan lahir seorang anak lelaki dari Bani Israel. Dia akan menjadi duri dalam kerajaanmu dan berakhir dengan menumbangkan kekuasaanmu sebagai penguasa Mesir. Atas petunjuk itu, maka Fir‘aun memerintahkan seluruh tenteranya membunuh setiap bayi lelaki yang baru lahir dan membiarkan bayi-bayi perempuan hidup.[7]

Maka Allah s.w.t berfirman:

Maksudnya:

Dan Kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi).

Surah al-Qasas (20): 5

Ini menunjukkan Allah akan menurunkan seorang Nabi untuk membela bumi Mesir dan Bani Israel. Maka Allah memilih Nabi Musa a.s untuk dijadikan sebagai pembimbing dan pemimpin. Allah s.w.t telah membayangkan kepada Fir‘aun bahawa Allah s.w.t akan mengangkat seorang pemimpin dari kalangan orang yang ditindas oleh Fir‘aun.

Ketika Nabi Musa a.s dilahirkan oleh ibunya Ayarikha, Allah s.w.t telah memberikan petunjuk kepadanya iaitu:

Maksudnya:

Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa; “Susuilah dia, dan apabila kamu khuatir terhadapnya maka jatuhkanlah dia ke sungai (Nil). Dan janganlah kamu khuatir dan janganlah (pula) bersedih hati, kerana sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya (salah seorang) dari para rasul.

Surah al-Qasas (20): 7

Setelah ibu Nabi Musa a.s yakin akan petunjuk Allah itu, maka dimasukkan anaknya itu ke dalam peti, lalu dihanyutkan ke Sungai Nil dan menyuruh kakak Nabi Musa a.s yang bernama Maryam mengikutinya untuk memastikan siapakah yang telah menyelamatkan anaknya itu.[8]

Kemudian firman Allah s.w.t:

Maksudnya:

Maka dipungutlah ia oleh keluarga Fir‘aun yang akibatnya dia menjadi musuh dan kesedihan bagi mereka. Sesungguhnya Fir‘aun dan Haman beserta tenteranya adalah orang-orang yang bersalah.

Surah al-Qasas (20): 8

Ahli tafsir mengatakan bahawa para dayang kerajaan telah mengambil peti yang tertutup itu dari sungai. Mereka tidak berani membukanya sehingga peti itu dibawa menghadap Isitnofret atau Asit atau Asiyah[9], binti Muzahim bin Ubaid bin Rayyan bin Walid isteri Fir’aun, seorang raja Mesir di zaman Nabi Yusuf a.s. Setelah dibuka, mereka melihat sinar kenabian yang amat cemerlang memenuhi peti itu. Mereka mengamat-amati isinya. Pada penglihatan mereka, dengan jelas bahawa peti itu berisi tubuh bayi yang comel. Ketika itu juga isteri Fir‘aun jatuh cinta pada bayi itu. Fir‘aun datang dan bertanya kepada mereka: “Apakah itu?” Apabila Fir‘aun melihatnya dia menjadi marah.Dia memerintahkan agar membunuh bayi yang baru ditemui. Asiyah merayu kepada Fir‘aun dengan bersungguh-sungguh agar ditutup sahaja niatnya untuk membunuh bayi itu. Beliau berkata “Anak itu akan mententeramkan hatiku dan hatimu.”, Fir‘aun menjawab: “Bagimu, itu mungkin benar, tetapi bagiku tidak”, Maksudnya dia tidak memerlukan kehadirannya, kerana bencana boleh dielak dengan perhitungan logik akal. Asiyah berkata: “Barangkali dia akan bermanfaat bagi kita.” Ertinya Allah s.w.t telah memberikan bayi itu kepadanya sebagai pembawa manfaat. Nilai kemanfaatan di dunia, dengan kehadiran bayi itu, adalah beliau memperoleh petunjuk dan di akhirat, beliau akan ditempatkan si syurga lantaran bayi itu. “Atau kita ambil saja sebagai anak” kerana pasangan suami isteri itu (Asiyah dan Fir‘aun) tidak mempunyai anak. Maka tidak jadi Fir‘aun untuk membunuh bayi tersebut.[10]

Seperti di dalam firman Allah s.w.t:

Maksudnya:

Dan berkatalah isteri Fir‘aun: “(Ia) adalah penyejuk mata hati bagiku dan bagimu. Janganlah kamu membunuhnya, mudah-mudahan ia bermanfa`at kepada kita atau kita ambil ia menjadi anak”, sedang mereka tiada menyedari.

Surah al-Qasas (20): 9

Menurut Ahli Kitab, yang mula-mula memungut bayi itu (Musa) adalah Durbatah, anak perempuan Fir‘aun. Menurut mereka Fir‘aun dalam perkahwinannya dengan Asiyah tidak memperoleh seorang anak lelaki pun. Semua anaknya yang lahir adalah perempuan. Ini adalah salah satu kesilapan Ahli Kitab.[11]

Seterusnya Allah s.w.t berfirman:

Maksudnya:

Dan menjadi kosonglah hati ibu Musa. Sesungguhnya hampir saja ia menyatakan rahsia tentang Musa, seandainya tidak Kami teguhkan hatinya, supaya ia termasuk orang-orang yang percaya (kepada janji Allah). Dan berkatalah ibu Musa kepada saudara Musa yang perempuan: “Ikutilah dia” Maka kelihatanlah olehnya Musa dari jauh, sedang mereka tidak mengetahuinya.

Surah al-Qasas (20): 10-11

Nama Musa yang telah diberikan kepada bayi itu oleh keluarga Fir‘aun, bererti air dan pohon (Mu=air , Sa=pohon) sesuai dengan tempat ditemukannya peti bayi itu. Kemudian didatangkanlah ke istana beberapa inang untuk menjadi ibu susuan Musa. Akan tetapi setiap inang yang mencuba dan memberi air susunya ditolak oleh Nabi Musa a.s dan enggan menyedut dari setiap susu yang diletakkan ke bibirnya. Dalam keadaan isteri Fir‘aun lagi bingung memikirkan bayi angkatnya yang enggan menetek dari sekian banyak inang yang didatangkan ke istana, datanglah kakak Nabi Musa a.s menawarkan seorang inang lain yang mungkin diterima oleh bayi itu. Atas pertanyaan keluarga Fir‘aun, kalau-kalau ia mengenal keluarga bayi itu, berkatalah kakak Nabi Musa a.s: “Aku tidak mengenal siapakah keluarga dan ibu bayi ini. Hanya aku ingin menunjukkan satu keluarga yang baik dan selalu rajin mengasuh anak, kalau-kalau bayi itu dapat menerima air susu ibu keluarga itu”. Anjuran kakak Nabi Musa a.s diterima oleh isteri Fir‘aun dan seketika itu jugalah dijemput ibu kandung Nabi Musa a.s sebagai inang berbayar. Maka apabila bibir bayi menyentuh susu ibunya, disedutlah air susu ibu kandungnya itu dengan sangat lahapnya. Kemudian diserahkan Nabi Musa a.s kepada Ayarikha ibunya, untuk diasuh selama masa menetek dengan imbuhan upah yang besar. Maka dengan demikian terlaksanalah janji Allah s.w.t kepada Ayarikha bahwa ia akan menerima kembali puteranya itu.[12]

Setelah selesai masa meneteknya, dikembalikan Nabi Musa a.s oleh ibunya ke istana, di mana ia di asuh, dibesar dan dididik sebagaimana anak-anak raja yang lain. Ia menunggang kenderaan Fir‘aun dan berpakaian sesuai dengan cara-cara Fir‘aun berpakaian sehingga ia dikenal orang sebagai Musa bin Fir‘aun.[13]

Kemudian Nabi Musa a.s telah dibesarkan di istana Fir‘aun. Beliau terkenal sebagai seorang yang kuat fizikalnya, gagah dan berani.[14]  Pada suatu hari, ketika dia kembali dari kota menuju istana, di tengah jalan dia berjumpa dengan dua orang lelaki berkelahi. Seorang di antaranya adalah berbangsa Ibrani, iaitu bangsa Israel yang sama bangsa dengannya dan seorang lagi berdarah Mesir atau Fir‘aun. Melihat perkelahiaan itu, terbit kemarahan hati Nabi Musa a.s terhadap bangsa Fir‘aun. Orang tersebut dipukulnya hingga mati seketika itu juga. Alangkah menyesalnya Nabi Musa a.s atas perbuatannya itu. Nabi Musa a.s berikhtiar tidak diketahui orang Mesir, tiba-tiba dia bertemu lagi dengan orang yang dibantunya semalam. Orang itu kembali minta tolong kepada Nabi Musa a.s. Lantas Nabi Musa a.s pun berkata: “Sesungguhnya engkau ini orang yang sesat terang.” Tatkala Nabi Musa a.s hendak menarik musuh itu, musuhnya berkata: “Hai Musa, apakah engkau hendak membunuh saya pula, sebagaimana engkau telah membunuh orang semalam? Rupanya engkau hendak menjadi orang ganas di muka bumi ini dan bukanlah engkau hendak membuat kebaikan.” kata-katanya itu didengar orang-orang Mesir yang berada di situ. Kini tahulah orang ramai, Nabi Musa a.s yang membunuhnya. Kemarahan umat Mesir kepada Nabi Musa a.s meluap-luap. Mereka mencari Nabi Musa a.s dan mahu dibunuhnya. Maka dengan senyap-senyap Nabi Musa a.s keluar meninggalkan Mesir menuju ke Madyan.[15]

Nabi Musa a.s bertemu dengan dua orang anak perempuan Nabi Syu’aib dan menetap bersama mereka di Kota Madyan. Sebelum Nabi Musa a.s diutuskan sebagai nabi dan rasul, beliau bekerja sebagai seorang pengembala kambing dengan bapa mentuanya iaitu Nabi Syu’aib[16] di Kota Madyan, dikatakan bahawa Nabi Musa a.s menyelesaikan tugasnya sebagai pengembala kambing di antara dua waktu iaitu antara lapan atau sepuluh tahun. Kemudian beliau dikahwinkan dengan anak perempuan Nabi Syu’aib yang paling muda[17] iaitu Siti Sapura[18]. Pada suatu malam, beliau bersama keluarganya meninggalkan kota Madyan pada waktu malam yang gelap, dengan udara yang dingin dan di bawah rintikan hujan dengan membawa beberapa ekor kambing pemberian bapa mentuanya.[19]

Apabila tiba di suatu tempat, Nabi Musa a.s berhenti untuk berehat. Oleh kerana udara yang agak sejuk, beliau cuba menyalakan api untuk menghangatkan badan. Oleh kerana angin yang kuat, maka api sukar untuk dinyalakan. Dalam keadaan angin yang bertiup dan dalam rintikan hujan, tiba-tiba Nabi Musa a.s terpandang api yang dapat memanaskan badannya dan keluarganya bersama. Apabila sampai di lereng bukit Thur atau Wadi al-Muqaddas[20], beliau terdengar suara memanggil namanya di pinggir sebelah kanan, lalu terpandang olehnya api yang timbul dari sepohon kayu yang menghijau. Dari peristiwa itulah, bermulanya turun wahyu ke atas Nabi Musa a.s dan beliau telah dilantik sebagai nabi dan rasul dan beliau akhirnya diberikan gelaran ulu al-’Azmi bersama beberapa nabi dan rasul yang lain[21]. Pada waktu itu, Nabi Musa a.s dipercayai berusia 55 tahun.[22]

Seperti di dalam firman Allah s.w.t:

Maksudnya:

Setelah Musa menyempurnakan tempoh kerjanya itu dan (mendapat izin) berjalan dengan isterinya (kembali ke Mesir), ia melihat (dalam perjalanannya itu) api dari sebelah Gunung Tursina. (Ketika itu) berkatalah ia kepada isterinya: “Berhentilah; sesungguhnya aku ada melihat api, semoga aku dapat membawa kepada kamu sesuatu berita dari situ, atau sepuntung dari api itu, supaya kamu dapat memanaskan diri”.

Surah al-Qasas (20): 29

Kemudian Allah s.w.t menceritakan lagi:

Maksudnya:

(Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada isterinya: “Sesungguhnya aku ada melihat api; aku akan bawakan berita dari situ kepada kamu, atau aku akan bawakan colok api daripadanya, supaya kamu dapat berdiang.

Surah al-Naml (19): 7

Begitulah keadaan Nabi Musa a.s yang mengharungi seluruh hidupnya penuh dengan dugaan dari Allah s.w.t. Walaupun Fir‘aun merasa diri hebat dan besar tetapi Allah Maha Merancang dan Mengetahui. Fir‘aun mahu menyelamatkan kerajaannya dari digugat tetapi Allah Maha Besar menunjukkan kekuasaannya bahawa orang yang menggugat kerajaannya adalah anak angkat peliharaannya sendiri.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s